Apakah Kita Selari Dengan Mereka…???

Dalam mendalami Islam, masyarakat kita lebih banyak ditekankan dengan perkara-perkara berkaitan syariat, perihal berwuduk, solat dan sebagainya tetapi penekanan terhadap pengetahuan aqidah amat kurang. Sedangkan aqidah yang sahih menjamin amalan kita diterima. Tidaklah ini bermakna bahawa semua hal yang disebutkan di atas itu tidak penting, tetapi perkara yang dasar perlu didahulukan untuk memastikan bangunan iman itu bebas dari kerosakan. Aqidah lahir dari perkataan ‘aqd’ yang membawa makna penguatan, pemantapan, dan pengikatan dengan kuat manakala menurut istilah adalah keimanan yang teguh, yang tidak dihinggapi suatu keraguan apapun bagi pemiliknya.

Kita perlu yakin hanya kepada aqidah yang sahih sahaja ; iaitu aqidah yang diturunkan melalui Rasul-Rasul pad setiap tempat dan zaman kerana ianya turun daripada Yang Maha Esa. Firman Allah yang bermaksud :

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. ( An Nahl : 36 )

Aqidah yang berbeza dari apa yang diajarkan Rasul merupakan aqidah fasad (buruk). Bercambahnya aqidah fasad ini berpunca daripada akal fikiran manusia semata atau kombinasi akal fikiran serta hawa nafsu seperti mana yang terdapat dalam aqidah Yahudi, Nasrani atau golongan-golongan sesat yang mengaku Islam seperti Khawarij, Muktazilah, Murijiah, Jahimiyyah, Qadariyyan dan bermacam lagi.

Perkara aqidah tidak mampu ditentukan akal melainkan wahyu kerana walau setinggi mana akal fikiran manusia namun ilmu yang ada sisinya adalah terhad dan tidak mencukupi. Sekiranya ditanya apakah kita beragama Islam dengan aqidah sepertimana aqidah Islam yang diajarkan Rasulullah SAW, tentunya setiap yang mengaku Muslim akan menjawab ‘Ya’. Tapi sedarkah kita jawapan yang sama juga akan keluar dari mulut golongan-golongan sesat Khawarij, Muktazilah, Murjiah, dan lain-lain. Begitu juga apabila ditanya apakah kita berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulnya? Maka sekali lagi kita boleh melihat semua pasti memberikan jawapan yang sama. Sekalipun dalam perkara-perkara aqidah yang merupakan perkara teras, iktikad mereka yang berbeza dengan kita golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jadi siapakah yang benar? Rasulullah SAW  bersabda bermaksud :

” Ketahuilah bahawa orang0orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah.” ( Hasan : Sunan Abu Daud)

Apakah yang menjamin kita berada dalam golongan yang dijanjikan syurga seperti yang disebutkan dalam hadis tersebut? Bagaimanakah untuk menjamin bahawa pegangan kita adalah pegangan yang diajar Rasulullah SAW tanpa sebarang pencemaran? Untuk memastikan Iktikad kita benar maka pemahaman kita terhadap al-Quran dan Sunnah perlulah selari dengan pemahaman Salaf al-Ummah. Rasulullah SAW pernah bersabda:

” Sebaik-baik kalian adalah pada kurun aku, kemudian pada kurun yang mengikutinya, kemudian pada kurun yang mengikutinya.” (Sahih Bukhari )

Hadis tersebut merujuk kepada para Sahabat, mereka yang mengikuti sahabat ( Tabi’in) dan mereka yang mengikuti Tabi’in ( Tabit Tabi’in). Tiga generasi awal itulah yang disebut sebagai Salaf al-Ummah. Hadis tersebut bertujuan untuk menjadikan umat Islam pada tiga generasi tersebut sebagai contoh dan modal ikutan umat-umat Islam. Hal ini sepertimana yang dianjurkan dalam firman Allah :

” Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” ( At-Taubah : 100 )

Perkara yang paling utama sekali perlu dicontohi tentulah dalam hal-hal aqidah kerana merekalah yang mempunyai aqidah yang murni. Cara pemahaman kita terhadap Al-Quran dan Sunnah juga mesti bertepatan dengan cara mereka yakni Salaf al-Ummah memahaminya dan bukannya pemahaman mengikut hawa nafsu dan kesombongan diri. Marilah bertanya kepada diri, apakah aqidah kita selari dengan mereka, generasi terbaik yang diiktiraf Rasulullah SAW?

# Surau Asy-Syakirin.

Advertisements

Akhlak Terhadap Alam Sekitar

# Mohamad Qayyum A. Badaruddin.

Manusia ialah makhluk Allah yang paling sempurna ciptaannya berbanding makhluk lain. Berlainan dengan malaikat yang hanya mempunyai unsur akal atau haiwan yang hanya mempunyai unsur nafsu, manusia dikurniakan Allah kedua-dua unsur itu. Dengan akal fikiran, manusia membuat pertimbangan sebelum melakukan sesuatu tindakan. Selepas pertimbangan dibuat, barulah unsur nafsu digerakkan ke arah mencapai keinginan itu. Namun, ada kalanya wujud ketidakharmonian antara unsur akal dan nafsu dalam jiwa manusia. Akibatnya, tindak-tanduk itu memberi kesan positif kepada kesejahteraan manusia sejagat. Maka, timbul krisis seperti masalah alam sekitar.

Islam menuntut keseimbangan dalam setiap daya usaha manusia. Pada masa sama, ia menuntut agar kegiatan manusia tidak memberi kesan negatif kepada kualiti kehidupan dan masyarakat. Firman Allah tentang perkara ini :

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “. ( Al-Qasas : 77 )

Tidak salah untuk melaksanakan pembangunan. Bagaimanapun, ia perlu dilakukan dalam bentuk terkawal. Hal ini agar agenda pembangunan yang dijalankan lebih banyak memberi manfaat bukannya keburukan kepada manusia dan alam sekitarnya.

Etika berkaitan penjagaan alam sekitar ada digariskan dalam Islam. Contohnya ketika peperangan, Nabi Muhammad SAW melarang umatnya memotong pokok atau membakar tanaman kecuali keadaan benar-benar memaksa supaya berbuat demikian. Malangnya, kemusnahan alam sekitar di beberapa kawasan di Malaysia, adalah akibat kerakusan nafsu manusia. Islam memandang jauh kehadapan dalam isu ini. Jika merosakkan alam sekitar, tentu sistem ekologi juga akan terjejas. Ia bukan sahaja akan menyebabkan kehilangan spesies alam dan flora yang amat berharga, malah haiwan liar serta unggas turut diancam kepupusan.

Di samping memberi kesan ke atas ekologi, pembangunan yang tidak terkawal boleh memberi kesan terhadap topografi sesuatu tempat. Ramai antara kita tidak sedar kegiatan pembersihan hutan dan meratakan bukit, mengancam aliran sungai dan jalan raya, malah struktur bangunan di sesebuah kawasan. Bukit-bukau yang menjadi pasak kepada bumi seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam surah An-Naba’, ayat 7 tidak lagi berperanan untuk menstabilkan persekitaran akibat proses meratakan kawasan.

Jadi apa yang perlu dilakukan sekarang agar perkara yang berlaku pada taman pertanian ini tidak berulang pada masa hadapan? Bagi menyelesaikan masalah ini, kita perlu mengkaji puncanya. Punca utama masalah ini adalah sifat kerakusan menusia yang mementingkan wang ringgit. Mereka mengambil kesempatan atas platform yang didakwa sebagai pembangunan. Hal ini seperti firman Allah :

” Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” ( Ar-Rum : 41 )

Dengan perkataan lain, masalah ini berlaku akibat tiada nilai murni dalam jiwa mereka yang terbabit dalam proses pembangunan. Jadi, akar umbi masalah terbit daripada manusia sendiri. Ia juga berkait rapat dengan sikap kita yang jarang mengaitkan aspek pembangunan dengan unsur akhlak atau moral Islam. Dalam Islam, aspek akhlak meliputi semua perkara. Kita bukan sahaja disuruh berakhlak kepada Allah atau manusia, malah menjaga akhlak kepada haiwan, alam sekitar dan sebagainya. Contohnya, setiap haiwan itu ada hak yang perlu kita tunaikan, lebih-lebih lagi haiwan peliharaan. Begitu juga dengan alam sekitar. Kita tidak boleh rakus dalam usaha pembanguna, yang akhirnya bukan saja memusnahkan ekologi yang menjadi habitat kepada makhluk lain, malah memudaratkan manusia. Oleh itu, isu pengukuhan akhlak perlu dititikberatkan dalam aspek pendidikan. Pendidikan tidak seharusnya terhad kepada pendidikan oleh ibu bapa atau guru, malah membabitkan masyarakat, pembuat dasar, sektor swasta dan badan bukan kerajaan.

Pada masa yang sama perlu ada aspek penguatkuasaan yang adil,telus dan tegas. Ia penting untuk memastikan nilai ini dapat bercambah dengan subur tanpa anasir yang boleh mengganggu gugat keutuhan institusi nilai atau akhlak ini. Contohilah Rasulullah SAW. Baginda tidak berkrompomi dengan kehendak Allah, malah bertindak tegas selaras dengan akhlak yang dituntut oleh Al-Quran. Ketegasan baginda dapat kita perhatikan melalui sabdanya :

“…Demi Allah sekiranya Fatimah binti Muhammad didapati mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya.” ( Riwayat Bukhari )

Jelasnya hukum dalam Al-Quran dan Sunnah bukan bermaksud untuk menghukum semata-mata, malh mendidik manusia supaya sentiasa patuh pada garis panduan Islam. Sejak berabad lalu, manusia dan alam bagaikan berlumba, siapa lebih cepat ber tindak. Namun, kekalahan sering perpihak pada manusia walaupun sistem amaran direka semakin maju dan dihubungkan satelit. Apabila belakunya bencana alam, ketamadunan manusia masih gagal menyelamatkan kita, apa lagi mengelak setiap kali mengesan kedatangan sesuatu bencana alam. Lantaran kegagalan itu, manusia sering kecundang dengan angka kemusnahan yangmencapai ratusan ribu nyawa yang terkorban.


MESIR : Hari penentu tiba … menang atau syahid


Ustaz Halim   http://www.inijalanku.wp.com

Posted on 3 Februari 2011 by Ustaz Halim

Ucapan Mubarak untuk terus bertahan. Hingga bila ? Hingga pertumpahan darah ribuan nyawa, atau sehingga Rakyat menangkapnya didalam Istana dan mengadilinya ?

Hari ini masuk hari Khamis. Demo rakyat sudah berlalu seminggu. Kelmarin, Selasa Perhimpunan-1-juta mencapai target. Bagi orang Mesir, hari Jumaat adalah hari minggu dan hari berkumpul kerana ada solat Jumaat. Saya menjangka esok, Jumaat adalah hari penentu. Jika dibiarkan Jumaat akan datang bererti percaturan dan tawar menawar terlalu panjang dan lama. Setelah Mubarak gagal menyuraikan rakyat yang berhimpun di Medan Tahrir, beliau menawarkan tidak bertanding lagi September 2011 (7 bulan) depan. Tawaran ini ditolak mentah-mentah oleh rakyat kerana tahu Mubarak akan menipu mereka ketika pilihanraya September nanti, bahkan kemungkinan besar sebelum itu. Disaat itu rakyat tidak boleh lagi berhimpun sekuat ini yang tidak pernah disaksikan dalam sejarah Mesir. Rakyat menuntut Mubarak segera keluar dari Mesir dan biarkan rakyat menentukan masadepan negara. Selagi tiada kemaraan dan serangan rakyat, tentera Mesir tidak bertindak apa-apa, belum menunggu arahan menembak sesiapa.

Medan Tahrir. Sepanjang perkenalan saya dengan rakyat Mesir terhadap pemerintah mereka, tidak mungkin rakyat Mesir akan berundur kosong dari Medan Tahrir lalu menerima penindasan dan penghinaan keatas mereka dan anak cucu mereka beberada dekad lagi.

Semalam, tentera Mesir pula mengajak rakyat menhentikan demo dengan alasan “Hasrat rakyat telah kesampaian kepada pihak Pemerintah”. Keputusan Rakyat petang tadi menyebabkan saya termenung lama dan merenung jauh. Pimpinan rakyat disegenap lapisan telah mencapai kata sepakat bahawa rakyat adalah bersatu teguh dan menuntut Mubarak, regimnya dan parlimennya hendaklah keluar dari Mesir. Tiada berbincangan dengan orang yang telah tidak mempunyai apa-apa kuasa pada hakikatnya. Dari senerio ini dapat disimpulkan :

[A] Jika Rakyat bersurai dan pulang ke rumah sebelum Mubarak kalah :

  1. Mereka tidak akan dapat berhimpun seramai itu lagi dimasa akan datang. Mubarak tidak akan membiarkan pisang berbuah dua kali. Rakyat akan ditindas dengan lebih keras dan kejam melalui seluruh jentera kerajaan terutamanya polis.
  2. Rakyat akan pulang dalam keadaan hina dina, kemiskinan dan ketiadaan kebebasan akan terus membelanggu mereka dan anak cucu mereka generasi demi generasi. Separuh dari penduduk berjumlah 80 juta berpendapatan kurang dari USD2 (RM6) sehari.
  3. Tokoh-tokoh mereka akan dibunuh atau ditangkap dan tidak mudah untuk mencari pengganti yang seperti yang ada pada ketika ini.

Rakyat sedang menunggu keputusan Mubarak dan tenteranya. Mubarak sedang menunggu Rakyat menguatkan perhimpunannya dengan menambah bilangan ke 8 juta orang. “Katakanlah kamu tidak menunggu kami melainkan (kami mendapat) salah satu dari dua kebaikan (Menang atau Syahid). Dan kami pula menunggu pada kamu, kamu akan dikenakan Allah dengan azab disisiNya, atau (azab) dari kami. Maka kamu tunggulah. Sesungguhnya kami (juga) menunggu bersama-sama kamu” (Surah At-Taubah ; 52).

[B] Jika Rakyat tidak merubah pendirian sehinggalah Mubarak keluar dari Mesir :

  1. Mereka tidak boleh lagi berdiam diri hingga berminggu-minggu di Medan Tahrir dan di tempat-tempat perhimpunan yang lain. Mereka harus terus mara, menguasai seluruh jentera regim Mubarak yang penting terutama Stesen TV, Kementerian Dalam Negeri dan Istana Presiden.
  2. Jika jika tentera menghormati perasaan rakyat, berkhidmat untuk rakyat, mereka dengan mudah menguasai keadaan. Rakyat Mesir termasuk tenteranya adalah bangsa yang sayang menyayangi antara satu sama lain. Sekiranya tiada pengaruh asing atau keputusan dari pihak luar, saya percaya tentera akhirnya akan meletakkan senjata dan masuk ke barisan Rakyat. Rakyat akan menang dan Mubarak akan diadili oleh Rakyat.
  3. Jika tentera patuh kepada pegawai dan ketua turus mereka untuk menembak Rakyat yang mara untuk menawan Stesen TV, Kementerian Dalam Negeri dan Istana Presiden, sebanyak mungkin peluru akan dimuntahkan ke arah penunjuk perasaan berjumlah jutaan. Ratusan malah ribuan nyawa boleh terkorban namun arus jutaan manusia tiada siapa yang boleh menghalang. Rakyat akan menang dan Mubarak tetap akan diadili oleh Rakyat, tapi dengan lebih keras. Pengaruh asing akan cuba melobi ke arah pilihan ini terutama Israel dan Amerika demi menjaga maslahatnya. Dikatakan Amerika dan Barat ditahap ini sedang memujuk Mubarak untuk melepaskan jawatannya demi mengelakkan pertunpahan darah. Saya mencurigai khabar ini. Jika benar pun, ini lebih bermakna Mubarak memberi laluan kepada timbalannya yang baru dilantik, Umar Sulaiman untuk menjadi Presiden dan terus mengekalkan regimdiktator yang lama. Namun hasrat hakiki yang sebenar ialah tentera Mubarak memuntahkan sebanyak mungkin peluru ke dada rakyat Mesir.

Ringkasnya, sekiranya Perhimpunan-8-juta berjaya dilakukan di Medan Tahrir pada hari Jumaat esok dan seterusnya, lalu bergerak untuk memberikan pukulan terakhir kepada regim Mubarak, ada 3 pilihan akan berlaku:

[A]  Pertama : Mubarak, Umar Sulaiman dan regimnya akan mengalah, berundur, keluar dari Mesir. Rakyat menang dan mendapat kebebasan membuat pilihanraya dan memilih kerajaan Rakyat. Pertumpahan darah dapat dielakkan. Ini menjadi harapan kita, yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin Rakyat dan saranan Dr Yusof Al-Qardhawy yang berucap dari Qatar, tempat buangannya.

[B] Kedua : Mubarak bertahan, tentera bertindak tegas, membunuh seramai mungkin penunjuk perasaan dan menggagalkan hasrat Rakyat dengan menggunakan kekerasan. Rakyat gagal dan pulang ke rumah masing-masing untuk dikenakan tekanan yang lebih kejam dan dahsyat. Ini hasrat Israel dan harapan sebenar Amerika dan sekutu-sekutunya termasuk sesetengah pemimpin Arab.

Pada saya Rakyat tetap akan mara dan membanjiri dan menawan pusat-pusat penting di Kaherah. Persoalannya seramai mana nyawa yang terkorban bergantung kepada bila tentera akan berhenti memuntahkan peluru-peluru hidup di dada Rakyat yang mara, adakah dipermulaan kemaraan, dipertengahan atau diakhir. Foto: Menteri Pertahanan, Field Marshall Tantawi sedang bercakap dengan salah seorang tentera yang menjaga Stesen Televisyen berdekatan Medan Tahrir. Adakah beliau akan berpaling tadah seperti banyak revolusi-revikusi di dunia dan memihak kepada rakyat, atau terus mengarahkan tenteranya menembak Rakyat dan akhirnya nanti diadili oleh Mahkamah Rakyat ?

[C]  Ketiga : Mubarak bertahan, tentera bertindak tegas, membunuh seramai mungkin penunjuk perasaan tetapi Rakyat mara, membanjiri dan mengalahkan regim Mubarak. Kesemua regim akan diadili dengan keras kerana membunuh ribuan nyawa yang tidak berdosa. Ini yang kemungkinan besar akan berlaku jika Mubarak silap dalam membuat kira-kira sendiri sebagai rakyat Mesir dan menerima bulat-bulat nasihat atau arahan dari Amerika dan Israel.

[D]  Keempat : Mubarak bertahan, namun setelah nampak jumlah Rakyat yang begitu ramai dan hasrat Rakyat yang tidak boleh dibendung lagi, tentera pangkat bawahan dan pertengahan akhirnya akan bertukar dan masuk ke barisan Rakyat. Rakyat akan menang dan pertumpahan darah yang banyak dapat dielakkan. Ini akan berlaku sekiranya tiada tekanan dari luar terutamanya Amerika dan pemimpin-pemimpin Rakyat berjaya meyakinkan tentera agar bersama mereka membebaskan Mesir dari segala bentuk pengaruh asing dan kekejaman bonekanya.

Presiden Romania, Nicolae Ceausescu yang memerintah secara diktator selama 21 tahun (1977-1989 , lambat dan silap membuat keputusan untuk cabut keluar dari negaranya. Ditengah-tengah kemuncak kemarahan rakyatnya, dia membuat perhimpunan penyokong-penyokongnya yang kemudian bertukar menjadi lawan. Setiap butir peluru yang dimuntahkan oleh tenteranya ke dada-dada rakyat menjadi tanggungjawabnya hasil dari keputusannya untuk tidak meletak jawatan dan menentang rakyatnya. Kebangkitan Rakyat menang pada 22/12/1989, ketika saya baru sahaja menjejak kaki di Mesir di tahun satu Universiti Al-Azhar. Tiga hari kemudian Nicolae Ceausescu diadili oleh mahkamah Rakyat selama 2 jam dan dihukum tembak hingga mati atas dakwaan mengarah tentera menembak 60,000 rakyat yang berhimpun menuntut dia mengundurkan diri.

Presiden Zainal Abidin Ali, pemerintah diktator negara Tunisia selama 22 tahun tajaan Barat mengambil keputusan cabut lari ke luar negara apabila kemarahan rakyat dan kesatuan mereka semakin memuncak. Ini membuka jalan Rakyat menentukan masadepan mereka sendiri, menghidupkan demokrasi, keadilan, ketelusan dan kebebasan dalam bercakap, televisyen dan pilihanraya. Langkah beliau mengelakkan pertumpahan darah dalam negara sesama umat Islam.

Sesetengah bertanya atau berpendapat bahawa tiba masanya Ikhwan Muslimin memegang tampuk pemerintahan Mesir. Bangkitnya Islam di Mesir bererti kesudahan riwayat Israel dan Kuasa-kuasa besar Dunia yang mendokongnya adalah hampir tiba. Ini harapan semua pihak yang cintakan Islam dan tanahair Islam. Ini harapan kebanyakan rakyat Mesir sendiri. Akan tetapi Ikhwan mempunyai perhitungannya tersendiri.

Ketua Ikhwan Muslimin Tunisia (Parti An-Nahdhah), Asy-Syeikh Abdul Rashid Ghannusyi, tiba di Tunis Airport dari negara buangannya di England. Ramai mendengar kemenangan Parti Inqaz di Algeria tahun 1991, tetapi tidak ramai yang mendengar bahawa pada tahun yang sama Parti Nahdhah menang pilihanraya di Tunis. Sebaik kemenangan, tentera Tunisia diarah mengepung rumah Abdul Rashid Gannusyi untuk membunuhnya, akan tetapi Rakyat datang dan mengepung pula tentera menyebabkan keadaan menjadi sengit. Dikala itu, tuan kepada negara, Perancis, mencadangkan agar Abdul Rashid dibebaskan dan keluar ke negara luar. Sejak itu beliau ke England dalam buangan. Saya pernah bertemu beliau di Muaz Islamic Centre, Birmingham pada tahun 1995 dalam program Perhimpunan Musim Sejuk pelajar-pelajar Malaysia. Ketika tiba di Tunisia kelmarin, beliau mengatakan Parti Nahdhah berhasrat sekadar bertanding dalam pilihanraya Parlimen, belum pilihanraya Presiden.

Pada hemat saya, diantaranya :

  1. Menonjolkan Ikhwan difasa terlalu awal ini hanya akan mengundang serangan musuh, ekonomi atau tentera, dalam masa terlalu awal. Selepas perjanjian Camp David (17/9/1978), Mesir mengimpot kebanyakan makanan rujinya, gandum dan tepungnya dari Amerika. Saya dimaklumkan kapal-kapal pengangkut gandum Amerika hanya akan mencurahkan tepung ke Pelabuhan Iskandariah hanya apabila bekalan tepung dalam negara Mesir mencukupi untuk selama 2 minggu atau kurang. Ini bermakna Amerika memastikan rakyat Mesir makan tepung sedia ada dan tidak menyimpannya. Sekiranya Islam naik di Mesir, Amerika akan memotong bekalan tepung dan kestabilan Kerajaan Islam di Mesir akan langsung tergugat bermula dalam tempoh tidak lebih dari 2 minggu dan tidak akan tahu bila berakhirnya.
  2. Jika Rakyat berjaya mengalahkan Mubarak pada kali ini, pemimpin Rakyat yang baru akan mewarisi segala peninggalan buruk yang ditinggalkan oleh regim Mubarak dan regim-regim sebelumnya sejak puluhan tahun yang lalu. Yang paling menonjolnya ialah kemiskinan yang melata dan bilangan pencuri dan perasuah yang ramai kesan darinya, sarang-sarang individu dan pegawai-pegawai polis yang mempunyai latihan dan keterikatan dengan Israel dan Amerika dan keruntuhan akhlak dari budaya Barat yang diekspot oleh Barat melalui berbagai cara. Ini jika dilihat dari dalam.
  3. Dalam kajian ilmu sosiologi, sesebuah negara atau pertubuhan adalah seperti seorang insan. Ada masa sakit, baring terlantar dan fokus untuk berubat dan menyihatkan dirinya, dan ada pula masa sihat, aktif dan boleh berperanan kepada orang lain. Kesan dari pemerintahan regim-regim yang lalu, Mesir sebuah negara yang sakit seperti yang disebut dalam (2) diatas. Ia memerlukan masa untuk membaiki segala kerosakan yang diwarisi, dengan sesegera boleh, supaya ia boleh segera berperanan sebagai abang sulung kepada negara-negara umat Islam yang lain. Bukan dari Maslahah Syarak, sebaik Islam bangkit, Mesir terus mencari sengketa dengan negara lain sedang ia sendiri dalam keadaan sakit. Namun jika Israel atau Kuasa-kuasa Besar yang memulakannya dahulu, Allah menajar dan mewajibkan pemuda-pemuda Islam memelih kemuliaan dan berjihad mempertahankan sempadan negara. Allah swt mempunyai tadbirnya tersendiri. Dia yang mengatur Perang Badar dalam keadaan para Sahabat ra menyangka mereka tidak  bersedia. “Dia hendak membenarkan yang Hak, dan Dia hendak membatilkan yang Batil (melalui Perang Badar)” (Al-Anfaal).
  4. Yang sangat asasi yang perlu difahami disini mengenai manhaj (carakerja) dakwah Ikhwan Muslimin ialah ia sentiasa memastikan ia adalah salah satu juzuk dari jasad umat, dan bukan terpisah darinya. Oleh sebab itu manhaj seperti ini menolak harapan dan desakan agar Ikhwan Muslimin memegang tampuk pemerintahan sebaik regim Mubarak dijatuhkan. Ini adalah kerana yang menjatuhkan Mubarak secara langsung adalah seramai beberapa juta orang dan bukan 80 juta penduduknya. Ikhwan Muslimin mesti menjadi salah satu juzuk (bahagian) dari 80 juta penduduk Mesir dan bukan dari 8 juta peserta demonstrasi. Oleh itu Ikhwan Muslimin akan membuat keputusan sejauhmana keterlibatannya dalam Parlimen dan Kerajaan Mesir hanya setelah keadaan dalam negara stabil, sistem demokrasi yang sebenar dilahirkan di bumi nyata terlebih dahulu dan semestinya melalui Pilihanraya yang sebenar, bebas dan telus, disertai oleh segenap lapisan masyarakat Mesir yang berbagai. Hal ini juga memerlukan masa.

Masyarakat umum dan Barat sendiri mengetahui bahawa Mubarak tidak memiliki saingan di dalam Mesir kecuali Ikhwan Muslimin. Bahkan Ikhwan Muslimin sendiri adalah bukan saingannya di dalam masyarakat Mesir. Oleh kerana itu Mubarak didokong oleh hanya polis-polisnya dan Kuasa-kuasa Asing semata-mata. Adapun parti-parti lain yang turut erlibat atau lebih tepat lagi dilibatkan dalam mesyuarat pemimpin-pemimpin Rakyat seperti parti Nusairi, parti Wafd, parti Sya’ab, parti Al-Ghad dan seumpamanya, mereka tidak lebih seperti parti-parti “nyamuk” seperti parti Berjaya dan seumpamanya di Malaysia. Hakikatnya parti-parti tersebut adalah individu-individu semata-mata seperti halnya parti Watani pimpinan Mubarak.

Semoga Allah swt memenangkan umat Islam dalam berhadapan dengan Kuasa-kuasa besar Dunia dan boneka-bonekanya yang menindas dan menjadikan umat Islam ketinggalan jauh ke belakang dalam persaingan dunia moden. Juga semoga Allah swt memelihara rakyat Mesir dari berlakunya pertumpahan darah yang banyak, menerima mereka yang telah dan bakal terkorban sebagai para Syuhadak, membaiki dan menstabilkan Mesir sesegera boleh selepas huru hara. Semoga Allah swt terus menyelamatkan Mesir selepas daripada itu dari serangan-serangan luar, ekonomi maupun ketenteraan, yang tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap bani insan. Moga negara-negara umat Islam segera menyalurkan persaudaraan dan bantuan yang diperlukan oleh rakyat Mesir dalam menghadapi sebarang dugaan dan cabaran.

“Kami ingin menganugerahkan orang-orang yang tertindas di mukabumi. Kami hendak menjadikan mereka imam-imam (pemimpin di tempat mereka). Kami hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (kepimpinan dunia). Kami meneguhkan mereka di mukabumi. Kami (hendak) memperlihatkan Firaun, Haaman dan tentera-tentaranya apa yang mereka takutkan (kebangkitan dan kekalahan)” (Al-Qasas : 5).


Musyawarah Dalam Keorganisasian Islam

# Dr. Muhammad Fathi.

Allah swt telah mengharuskan umat Islam bermusyawarah antara para pemimpin dengan rakyat yang dipimpinnya dalam berbagai tingkatan kepimpinan dalam sesuatu organisasi. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam firman Allah:

” Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.”( Asy-Syura,42 : 38 ).

Sebagaimana pula Allah swt memerintahkan Rasulullah saw untuk bermusyawarah terlebih dahulu dalam setiap permasalahan sebelum mengambil keputusan, Jadi prinsip musyawarah dalam Islam merupakan prinsip yang harus dilaksanakan dan baik. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam firman Allah :

“…dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” ( Ali Imran, 3 : 159 ).

Rasulullah saw selalu komited untuk bermusyawarah dalam menjalankan tugas kenegaraan. Baginda sering bermusyawarah dengan para sahabatnya yang berwawasan dan berpengalaman dalam berbagai urusan negara, baik politik, ekonomi, ketenteraan, mahupun pengurusan. Seringkali baginda menggunakan pendapat orang yang diajaknya bermusyawarah sebelum wahyu turun.

Rasulullah saw telah membentuk dewan syura yang beranggotakan empat belas orang yang dipilih oleh orang-orang yang berwawasan luas dan berpengetahuan tinggi yang sudah dikenali keutamaan dan kemampuan akalnya dalam masyarakat, serta mereka yang mempunyai keimanan yang kuat dan sumbangan yang cukup dalam menyebarkan dakwah.

Pemilihan ketua dewan syura tersebut diambil dari kaum Muhajirin dan Ansar dengan seimbang, sehingga keputusan yang diambil diharapkan mencakup seluruh kepentingan kaum Muhjirin dan Ansar.

Para Khulafa’ Ar-Rasyidin juga mengambil jalan musyawarah dengan mencontoh Rasulullah saw yang menjadi teladan bagi mereka. Abu Bakar As-Siddiq misalnya apabila menghadapi suatu permasalahan dan ingin bermusyawarah dengan para pakar dan ahli hukum yang mengetahui permasalahan tersebut, ia mengundang beberapa orang dari kaum Muhajirin dan Ansar seperti Umar, Uthman, Ali, Abdul Rahman bin Auf, Mua’dz bin Jabal, Ubai bin Ka’ab, dan Zaid bin Tsabit. Masing-masing dari mereka ini mendapat legitimasi untuk memberikan fatwa kepada masyarakat pada masa kekhalifahan Abu Bakar As-Shiddiq.

Umar bin Al-Khattab juga tidak memutuskan suatu urusan yang penting tanpa bermusyawarah terlebih dahulu dengan para sahabatnya. Ia berkata, “Pendapat satu orang bagaikan satu benang yang tidak terikat, dua pendapat bagaikan dua benang yang terikat, dan tiga benang adalah kekuatan dahsyat yang hampir tidak bisa dihancurkan.”

Umar juga sering bertanya kepada masyarakat yang ada di masjid tentang pendapat mereka dalam pelbagai persoalan umum, kemudian ia mengemukakan pendapatnya dan pendapat masyarakat tersebut di hadapan anggota dewan syura, yang pada masanya beranggotakan empat belas orang. Apabila pendapat mereka dalam atu persoalan telah disepakati bersama, barulah ia ditandatangani.

Musyawarah merupakan kekuatan bagi umat Islam dan dapat mempekukuhkan hubungan antara mereka. Musyawarah mampu menopang kebersamaan pemikiran dalam kerja kolektif dan saling memahami,  serta memperkuat hubungan persaudaraan di antara umat Islam.

Islam selalu berusaha menjaga kerukunan dan kebersamaan dalam kerja kolektif dalam berbagai persoalan. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam firman Allah,

” Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai…” ( Ali Imran : 103 )

Allah swt juga mengingatkan kita agar tidak terjebak dalam perseteruan, sebagaimana dalam firmanNya,

” Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” ( Al-Anfal : 46 )

Rasulullah saw menganggap orang yang keluar dari kelompok dan segala keputusan yang telah ditetapkan berdasarkan musyawarah dan tukar pikiran sebagai bentuk kemurtadan Jahiliyah. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam sabdanya,

” Barangsiapa keluar dari kelompok, dan terpisah dari golongannya lalu meninggal, maka ia meninggal dalam keadaan Jahiliyah.”

Semua ini menegaskan bahawa prinsip musyawarah merupakan prinsip dasar dalam pengurusan Islam.

Apabila kaum muslimin telah bersepakat dalam suatu perkara, maka harus didukung dan memberi komitmen untuk melaksanakannya tanpa melawan atau menentang kelompok yang bermusyawarah atau pemimpin yang mendapatkan mandat untuk melaksanakan keputusan bersama tersebut.

Hal ini diperkuat dengan sabda Rasulullah saw,

” Barangsiapa taat kepadaku maka ia telah taat kepada Allah, barangsiapa membangkang terhadapku maka ia telah berbuat durhaka kepada Allah, barangsiapa taat kepada pemimpinku maka ia telah taat kepadaku, dan barangsiapa membangkang kepada pemimpinku maka ia telah membangkang terhadapku. Seorang Imam ( pemimpin ) merupakan benteng yang melindungi orang yang berperang di belakangnya dan mengamankannya. Apabila ia memerintahkan untuk bertakwa kepada Allah dan berbuat adil, maka ia berhak mendapat pahala, dan apabila ia memerintahkan yang lain, maka ia harus menanggung dosa.”




Takutlah Kepada Allah S.W.T.

# Mohammad Qayyum A. Badaruddin.

Salah seorang pemimpim kaum Muslimin menerangkan sifat orangnya: “Sebaik-baik pemuda adalah Muktahalin, iaitu pemuda yang aktiviti ibadahnya seperti orang tua, mata mereka menundukkan diri dari kejahatan, kaki mereka berat melangkah pada kebatilan, sering beribadah dan lelah semalaman tidak tidur. Sungguh Allah melihat mereka pada malam hari di mana punggung-punggung mereka condong kepada juz-juz Al-Quran.

Allah swt berfirman : ” Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.”    ( Ali Imran : 175 )

Allah berfirman dalam Hadith Qudsi : ” Tidak akan Kukumpulkan dalam diri hambaKu dua ketakutan dan dua kemenangan. Barangsiapa yang takut kepadaKu di dunia, akan Kuberi keamanan di akhirat. Barangsiapa yang merasa aman dariKu di dunia, akaan Kupertakuti dia di akhirat.”

Sa’id bin Amir berkata kepada Umar Al-Khattab: ” Sesungguhnya aku mewasiatkan kepadamu dengan kata-kata yang intinya mencakup seluruh ajaran Islam dan menjadi rambu-rambu penunjuk jalan Islam. Takutlah kepada Allah dalam menghadapi manusia dan janganlah engkau takut kepada manusia dalam menjalankan agama Allah. Janganlah perbuatanmu mengingkari ucapanmu, kerana sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah yang dibenarkan oleh perbuatan. Cintailah kaum muslimin yang dekat dan jauh sebagaimana engkau cintai dirimu dan keluargamu. Tempuhlah berbagai-bagai medan untuk menuju kebenaran sesuai dengan pengetahuanmu. Janganlah engkau takut celaan orang yang mencela dalm menjalankan agama Allah. Takutlah kepada Allah SWT yang akan mendorong para pendakwah mengarahkan segenap tenaganya untuk menyebarkan pemikiran-pemikirannya, mencari berbagai-bagai dukungan dan sentiasa menampakkan kebenaran.”

Dalam menjalankan tugas di jalan Allah mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela, tidak nifak, dan tidak membujuk (menipu). Dia tidak memperhintungkan keredaan dan penerimaan manusia. Dia menjadi seorang penjaga idea Islam yang  jujur. Menilai fakta-fakta yang sedang terjadi dengan hukum-hukum Islam secara jujur dan amanah.

Rasulullah SAW bersabda : ” Janganlah salah seorang antara kalian merasa rendah diri untuk menyatakan pendapat secara ikhlas Lillahi Ta’ala terhadap sesuatu perkara yang ada kesempatan baginya berbicara, lalu dia tidak mengucapkannya. Apa yang mencegah engkau tidak mengatakan dalam masalah itu begini dan begini? Maka dia menjawab : ” Takut kepada manusia. ” Maka Allah berfirman: ” Aku lebih berhak engkau takuti.”

Seorang A’rabiy datang ke istan Sulaiman bin Abdul Malik lalu berkata: ” Hai Amirul Mukminin, sesungguhnya aku berbicara kepadamu dengan satu kalam yang engkau akan memikul risikonya jika engkau membencinya dan akan ada sesuatu yang engkau sukai jika engkau menerimanya.” Dia berkata kepada

Amirul Mukminin: ” Sesungguhnya engkau telah dikelilingi orang yang membeli duniamu dengan agama mereka dan redamu dengan kemurkaan Tuhan mereka. Mereka takut kepadamu dalam (menjalankan agama) Allah tetapi mereka tidak takut kepadaNya dalam menjalankan perintahmu. Mereka merobohkan akhirat dan memakmurkan dunia. Janganlah engkau memberikan jaminan keamanan kepada mereka untuk mendapatkan keamanan dariNya. Sesugguhnya mereka melalaikan amanah sehungga terbengkalai dan umat menjadi lenyap. dan anda bertanggungjawab atas apa yang mereka burukkan dan mereka tidak bertanggungjawab atas keburukanmu. Janganlah dunia mereka merosak akhiratmu. Sesungguhnya yang paling besar tipuannya di antara manusia adalah orang yang menjual akhirat dengan imbalan dunia milik orang lain.”  Sulaiman berkata: “Adapun engkau, lisanmu telah mencabut (nyawa)mu, lisanmu itu lebih tajam dari pedangmu.” Dia menjawab, ” Benar, hai Amirul Mukminin. Ini untuk kebaikan anda bukan mencelakakan anda.” Berkata Amir: ” Apakah engkau perlu sesuatu?” Dia menjawab, ” Kalau engkau berikan khusus untukku dan tidak untuk umum, tidak!” Lalu dia bangkit dan keluar. Sulaiman berkata: ” Bagi Allah mutiara katanya, alangkah mulia asal (keturunannya), alangkah terkumpul hatinya, alangkah fasih dan tajamnya lisannya, alangkah jujur niatnya, alangkah indah jiwanya.”