Tag Archives: subuh

Teman Teristimewa…

Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain, aku menyambut kedatangan seorang tetamu tetapku.
” Assalamualaikum “, seru Subuh.
” Wa’alaikusalam “, sahutku.
Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat.
” Tadi…”, kata Subuh dengan sayu, ” ….. aku baru sahaja melintasi satu tempat. Kucari tempat persinggahan, ku ketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi satu pun tiada yang mahu menerimaku sebagai tetamu.” Dan airmata subuh pun mengalir.

” Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu.
” Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya di sebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang paling ku suka adalah buah Tahajjud, puas ku cari di bumi lain, tapi jarang ku jumpa. Di situ ku meratah buah Tahajjud dengan leka “. Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku fahami maksud Subuh.

” Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi aku ada roti Shiyam “, cadangku pada Subuh.
Subuh menolak dengan hormat. ” Roti itu ada tuan yang empunya “, kata Subuh.
” Adakah kau mahu manisan Zikir?” rayuku pada Subuh.
” Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas Air Mata Tangisan “, pinta Subuh.
Aku agak sugul, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air Tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau Maksiat yang berpanjangan. Namun aku tetap menjenguk ke dalam Perigi yang memuatkan Mata Air tersebut. Aku terkejut. Perigi tersebut hampir separuh penuhya. Dan aku berdetik didalam hati, apakah ini tanda kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah lagi kubawa Air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjungi, dan kusuakan manisan yang dipintanya.
Selesai menjamah semuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.
” Subuh..” seruku, “….mahukah kau tinggal selamanya denganku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan sebaiknya, wahai Subuh “.
Subuh tersenyum lagi menandakan permintaaaku tidak akan dipenuhi.

” Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana aku menguliti mimpimu “.
Dan aku akur dengan penjelasan Subuh. ” Subuh…”, seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi,
” sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?”
” Insya-Allah “, jawab Subuh, ” …..bukankah aku kekasih yang kau rindui?”
Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap.
” Assalamualaikum “, seru Subuh.
” Wa’alaikumsalam “, jawabku kembali.
Dan mataku terus meniti langkah Subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan.

p/s : apalah agaknya keluh kesah dari Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak?

Jawapannya….. tepuk dada tanya Iman…


Di suatu Subuh yang hening

Pada subuh yang hening, ketika manusia lena diulit mimpi, sejalur cahaya indah terpancar nun di kaki langit. Sadik namanya, dan ia tersenyum memandang sekalian penghuni bumi yang sedang berdengkur. DAM! DAM! DAM! DAM!  Beduk dipalu menyambut kedatangan sadik yang indah kemilau cahayanya. Pukul 6.00 pagi, berkumandanglah suara muazin di sebuah surau di selatan tanah air, mengejutkan manusia yang masih lena;

ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR!

ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR!

Pukul 6.01 pagi, muazin di urau dan masjid di daerah lain pula mengalunkan kalimah suci itu. Lantang, tapi menyejukkan dada. Wajah sadik semakin jelas. pukul 6.02, laungan yang sama bergema di daerah yang lebih utara, begitulah seterusnya, berganjak dan berganjak tanpa henti di wilayah yang lain. Pukul 6.05 pagi, berkumandang subuh di kota metropolitan yang bernama Kuala Lumpur. Laungan suci itu mengajak umatNya menunaikan solat beralun sayu tingkah bertingkah, hampir serentak dari setiap corong pembesar suara. Seluruh kota itu bergema dengan peringatan;

ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR!

ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR!

Pukul 6.06, azan subuh beralih ke daerah yang lebih utara. Demikianlah aturannya, tidak henti-henti, bersahut-sahutan membuka lembaran pagi yang aman permai. Selepas azan berakhir di Perlis, ia berkumandang pula di selatan Thailand, kemudian terus berganjak dan berganjak, setiap saat,  setiap minit dan jam ke Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan serta Afghanistan. Semasa penghuni sebuah negara permai bernama Malaysia sedang sibuk bekerja, azan ubuh berkumandang pula di Kazakstan dan Uzbekistan, kemudian menggegar bumi Asia Barat, dari Iran yang berselubung hitam dan Iraq yang sedang bergelut dengan pembunuh berkulit putih, hinggalah ke Turki, seterusnya ke Eropah.

Di saat matahari mula menuju ke ufuk barat negara Malaysia, azan subuh bergema di bumi angkuh bernama Amerika Syarikat dan Kanada. Seruan suci itu bersambut di Jepun, kemudian disahut oleh masjid-masjid di Korea, China, Filipina, Vietnam, Laos dan Kemboja tanpa putus walaupun sesaat. Ketika manusia sibuk bekerja di bumi Amerika, sadik yang indah memancar lagi di kaki langit negara Malaysia. Wajahnya tetap indah dan berseri, membawa khabar suci untuk yang mengerti.

ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR!

ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR!

TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH!

TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH!

Seruan suci subuh yang hening ini tidak pernah putus dilaungkan di setiap inci muka bumi, walupun sesaat. Namun berapa ramaikah yang sanggup meninggalkan katilnya untuk beberapa minit demi menyembah Yang Maha Pencipta?